Monday, March 30, 2009

Kawal Marah Sebelum Ia Memakan Diri.

Marah adalah emosi manusia yang memang normal dan sihat. Tapi apabila ia tidak dapat dikawal, emosi ni akan membawa masalah di tempat kerja, dalam hubungan peribadi mahupun dalam keseluruhan kualiti hidup anda. Kemarahan yang tak terkawal akan menjadi punca pergaduhan dan perceraian, malah akan menyebabkan tekanan dan gangguan serius dalam kehidupan seseorang.

Rasa marah ni boleh disebabkan oleh perihal dalaman dan luaran. Biasanya ia melibatkan perubahan fisiologikal dan biologikal seseorang ketika marah, tekanan darah dan denyutan jantung akan meningkat, begitu juga dengan hormon tenaga, adrenalin dan noradrenaline. Jadi anda ingin hidup dengan lebih gembira dan sihat, kawal kemarahan anda sebaiknya.


Bertenang

Tarik nafas dalam-dalam dan kosongkan fikiran. Ini mungkin dapat membantu anda menenangkan diri. Jika perlu, dapatkan bantuan profesional atau beli buku-buku berkaitan teknik menenangkan fikiran.

Ambil nafas dalam-dalam (dari bahagian diafragma). Jangan bernafas dari dada kerana ia tidak akan menenangkan anda. Bayangkan nafas anda seolah-olah keluar dari perut. Secara perlahan-lahan ulangi perkataan 'bertenang' dan 'jangan susah hati'. Ulanginya dalam diri anda sendiri sambil mengambil nafas yang dalam.

Gunakan daya imaginasi anda untuk membayangkan suasana yang menenangkan, tidak kiralah sama ada ia hanya imaginasi ataupun dan kenangan lama. Lakukan latihan ala-ala yoga yang boleh menenangkan otot-otot anda dan menenangkan perasaan.


Susun semula pemikiran

...Ingatkan diri anda; marah tidak dapat menyelesaikan masalah....
Ringkasnya di sini, teknik ini bermaksud anda perlu mengubah cara pemikiran. Kebiasaannya seseorang yang sedang marah akan menghamburkan kata-kata cacat maki, menyumpah-nyumpah atau bertindak keterlaluan. Pendek kata, pemikirannya akan berubah serta-merta. Jadi, setiap kali berasa marah, cuba tukarkan perkara-perkara tensebut dengan sesuatu yang lebih rasional. Contohnya, katakan pada diri anda; 'Ia sungguh mengecewakan', 'ia memang teruk', 'segalanya sudah musnah' dan 'saya faham yang saya sangat sedih kerananya, tapi ia bukan bermakna harapan tidak lagi ada dan marah bukanlah jalan penyelesaiannya'.

Berhati-hati dengan kata-kata 'tidak mungkin' atau 'selalu' ketika bercakap tentang diri anda dan orang lain. Contohnya, 'mesti ni tak pernah boleh digunakan' ATAU 'awak ni selalu lupa benda-benda penting'. Ini kerana ayat-ayat begini akan membuatkan anda atau orang lain rasa patah semangat untuk menyelesaikan masalah yang berlaku ketika itu. Ingatkan diri anda; marah tidak dapat menyelesaikan masalah.

Selesaikan masalah

Kadangkala kemarahan atau kekecewaan itu timbul kerana beberapa masalah dalam hidup. Tapi bak kata orang, setiap masalah ada penyelesaiannya:
-Rangka perancangan anda.
-Jangan lupa semak perkembangannya.
-Selesaikan masalah dengan cara yang paling baik tapi jangan terlalu menyalahkan diri sendiri jika anda tidak dapat memenuhi perancangan anda.
-Berusaha sebaik mungkin akan mengurangkan tekanan anda, walaupun ia mungkin tidak selesai serta-merta.


Komunikasi yang baik

Kebiasaannya orang yang sedang marah terlalu cepat membuat kesimpulan terhadap sesuatu dan ia boleh jadi tidak tepat. Jika anda menghadapi satu perbincangan hangat yang mungkin mencetuskan kemarahan, anda patut bawa bentenang dan fikirkan sebaik-baiknya terlebih dahulu. Usah suarakan perkara pertama yang terlintas di fikiran serta-merta tanpa berfikir.

Jadilah seorang pendengar yang baik - terutamanya pada perkara-perkara yang boleh menyebabkan kemarahan. Jika anda dikritik, jangan melawan. Banyakkan mendengar dari pihak tersebut. Kekalkan ketenangan dalam diri anda bagi mengelakkan keadaan jadi lebih buruk.


Bertukar angin

Kadangkala, suasana sekeliling membuatkan kita rasa tertekan. Masalah tanggungjawab yang banyak pula amat membebankan dan semua ini membuatkan anda manah. Jadi anda haruslah membuka ruang pada diri sendiri. Luangkan masa untuk melakukan perkara-perkara yang anda suka seperti bercuti dan sebagainya untuk memperbaharui mood anda.



Mencari alternatif

Jika sesuatu perkara itu sudah dijangkakan menimbulkan kemarahan, anda harus bijak mencari alternatif untuk mengelakkan dari berdepan dengan masalah itu. Sebagai contoh, jika kesesakan jalan raya sering menyebabkan anda marah, gunakan pengangkutan lain sepenti komuter, LRT dan sebagainya untuk ke pejabat.Marahlah secara sihatKemarahan adalah emosi normal manusia. Dengan itu, harus diberi perhatian bahawa emosi yang satu ini juga penting untuk kita terus hidup dan untuk mempertahankan diri. Marahlah dengan cara yang wajar dan terkawal tanpa diikuti dengan kekerasan atau kata-kata kesat. Tapi usah memendamnya kerana kemarahan yang tidak diluahkan akan memberi kesan negatif terhadap seorang individu itu.




Gaya Komunikasi Yang Menggugat Persahabatan


Sebenarnya banyak pergaduhan dan pertengkaran dapat dielakkan sekiranya kita pandai berkomunikasi. Memang, sikap marah, merungut, membebel apatah lagi mengamuk tidak akan mengubah keadaan. Malah sikap negatif sebegini hanya akan merosakkan bibit-bibit persahabatan yang mungkin telah terjalin sekian tama. Sikap sedemikian timbul natijah wujud salah faham ketika berkomunikasi. Di sini saya ingin kongsikan gaya komunikasi yang boleh menggugat tali persahabatan.



Menilai


Menilai bererti memberi penilaian yang wajar kepada orang lain dan secara gopoh cuba memberi penyelesaian masalah yang dihadapi oleh mereka. Apabila anda menilai, anda tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh orang lain. Sebaliknya anda lebih suka menilai wajahnya, nada suara serta perkataan yang digunakannya.

Contohnya:

Mengkritik secara melulu, "Awak memang tidak faham satu apa pun."
Melabel/memberi gelaran, "Awak tu memang bodoh dan lembab. Siapa tak tahu?"
Membuat kesimpulan awal, "Awak memang tidak suka berkawan dengan saya!"


Memberi Penyelesaian Yang Bersahaja


Sikap sebegini juga boleh menghalang komunikasi walaupun orang yang mendengar menunjukkan sifat mengambil berat dan ingin membantu. Sikap sebegini boleh menimbulkan anggapan sahabat kita bahawa perasaan, nilai, dan masalah mereka tidak penting. Malah mereka akan terasa diperkecil-kecilkan.

Contohnya:
Mengarah, "Awak mesti ikut saya ke kedai itu..,"
Mengancam, "Kalau awak tidak mahu meminjamkan saya buku nota awak, saya akan..."
Menyoal-siasat, "Awak pergi ke mana?""Dengan siapa awak pergi!""Apakah yang awak buat dengan dia?"
Memperkecil-kecilkan, "Macam tu pun awak dah anggap masalah... itu perkara kecil saja!"



Menafikan Kepentingan Orang Lain


Sikap menafikan kepentingan orang lain bererti menafikan terus masalah, perasaan, dan nilai orang lain. Sebagai sahabat dan pendengar, anda tidak mahu melayan kebimbangan, ketakutan serta kerisauan orang lain.

Contohnya:

Memberi nasihat, "Adalah lebih baik kalau awak ikut saja cara saya..."
Menyimpang daripada tajuk perbualan, "Ah! lupakan saja hal itu. Petang esok awak free?"
Bertengkar, "Sebenarnya, cara awak tu salah! Bagi saya..."

Demikian antara beberapa gaya komunikasi yang boleh menggugat tali persahabatan, jika diamalkan selalu. Seseorang sahabat berkawan dengan kita kerana ingin berkongsi perasaan dengan kita; bukan sekadar menjadi "Pak Turut" kemahuan kita. :)


Dipetik dari
http://blogmacammacam.blogspot.com/


Diposkan Oleh,


Wednesday, March 18, 2009

Cinta Merupakan Motivasi Diri Yang Terhebat

kita bercinta sejak lahir.Sudah terlalu banyak definisi tentang cinta. Terutama filem-filem hindustan. Cinta telah diberikan mekap yang cukup mengasyikkan.Cinta suatu perasaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Ia hanya dapat dinikmati secara mengalaminya sendiri. Cinta tidak dapat dipelajari tetapi dialami. Uniknya cinta kerana ia jelmaan kasih sayang yang teragung. Manusia membina sahsiah di muka bumi bermodalkan kasih sayang dan cinta.
Cintalah segalanya bagi orang yang sedang bercinta. Cinta menjadi jambatan penghubung kepada dua hati yang asalnya terpisah dan saling tidak mengerti.

Cinta adalah motivasi terbaik manusia. Manusia telah ditebarkan di muka bumi dengan dibekalkan rasa cinta. Cinta telah menemukan kembali adam dan hawa. Melalui cintalah manusia membina sahsiah dan menjadikan alam ini tempat yang terbaik untuk didiami.
Jika cinta sudah tiada di hati anda, tandanya salah satu dari nikmat Allah telah tercabut daripada anda. sedang cinta salah satu nikmat teragung Allah terhadap hambanya. Jika anda sudah tidak dapat menghargai cinta tandanya nilai kemanusiaan anda sudah nula terhakis. Ketiadaan cinta di hati anda bakal merubah seluruh kehidupan anda.

Orang yang tiada perasaan cinta adalah orang yang telah kehilangan motivasi dalamannya. cinta seharusnya melahirkan tindakan yang melambangkan kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan terutama dalam membuat keputusan berhubung dengan insan-insan berlawanan. Cinta adalah kenderaan menuju kebahagiaan.

Suburkanlah rasa cinta sebagaimana ia bermula dan sentiasa. saat bermulanya cinta adalah rasa teragung yang dirasai oleh setiap manusia. Inilah rasa yang tiada perkataan dapat menceritakannya. Tatkala itu cinta benar-benar menjadi motivasi yang terhebat. andainya lautan api direntangkan di tengah-tengah, masih sanggup direnangi untuk menggambarkan betapa cinta begitu memotivasi dan perlu bukti. Tiada lagi rasa teragung kecuali cinta.
Cinta melambangkan kegembiraan, keseronokan, kepuasan, kenikmatan dan semua rasa yang muluk-muluk dan sukar digambarkan dengan perkataan. Manusia yang beruntung adalah manusia yang meniti di atas cinta, memperolehi cinta untuk menyedari kedudukannya sebagai insan kerdil di bawah kebesaran Allah.

Biar tinggi martabat cinta, ada cinta yang seolah-olah telah hilang keramatnya. Adakalanya cinta yang suci dan penuh makna itu menjadi barang terbuang, berciciran di mana-mana, dilorong-lorong, di bawah rimbunan pepohon dan apatah lagi apabila malam telah melabuhkan tirainya. Manusia-manusia durjana berebut-rebut mengutip bunga cinta yang berkeliaran dan bersimpang siur itu. Harga diri dipertaruhkan dan dicagarkan hingga akhirnya menjadi habuan nafsu yang tidak mengenal iman dan kehormatan.
Entah di mana silapnya cinta yang sepatutnya menjadi lambang kebahagiaan, kedamaian dan keamanan manusia sejagat adakalanya menjadi pemusnah. Cinta hadir daripada ketrampilan pemilik cinta itu sendiri. Seorang lelaki yang benar-benar jatuh cinta dan mencintai seorang waanita akan menunjukkan sikap, penampilan serta gerak laku yang sentiasa menyakinkan insan yang dicintainya itu.

Cinta yang murni adalah pemangkin kepada kehidupan yang penuh bahagia. Sebgaimana ia bermula, cinta seharusnya berkekalan sedemikian rupa sehinggalah ke penghujungnya. Cinta tidak harus dinodai oleh perlakuan-perlakuan kejam, tidak bermoral dan juga yang mencarik kesucian cinta itu sendiri. Andainya cinta boleh dikekalkan sebagaimana ia bermula, bahagia adalah jawapan untuknya.

Kejayaan sesebuah perhubungan memang banyak bergantung kepada suci dan murninya cinta yang dipermodalkan. selama mana cinta dapat dipertahankan pada kedudukannya selama itulah bahagia akan menjadi penghias yang terindah. Apabila cinta sudah tidak dihargai, kehidupan akan berpaling ke tahap terendah. Jawapannya derita tanpa penyudah.
Tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran, cinta sudah ada dalam setiap insan. Cinta sudah dibekalkan sebagai modal termahal untuk dirasai dan diberikan kepada individu yang berhak. Meniti di atasnya bererti meniti di atas bahagia.

Tiada lagi suatu rasa pun yang boleh memotivasikan manusia kecuali rasa cinta dan bahagia. Dengan cinta gunung kelihatan rendah untuk didaki. Dengan bahagialah lembah kelihatan cetek untuk dituruni. Dengan cinta dan bahagialah matlamat kehidupan insan menjadi sempurna. Tanpa kedua-duanya, semua kelihatan tercabut dari hasrat, kehendak, sasaran, target dan cita-cita yang murni.

Cinta ibarat cahaya, bukan pencetus masalah dan pembawa derita. Tidak perlu berkorban kehormatan untuk cinta kerana cinta yang benar-benar suci dan semulajadi menjadikan pemiliknya bertambah matang, dewasa, beriman malah berperibadi mulia.
Cinta murni sentiasa mampu memandu manusia melepasi semua halangan demi kecemerlangan. Cinta telah membuatakan manusia bangkit membina kehidupan yang terbaik. Alangkah bodohnya orang yang menjadikan cinta jambatan untuk membina kesusahan.
Jika cinta dijelmakan dalam diri ia begitu memotivasi. Jika diberikan kepada seseorang ia ibarat menghadiahkan sebukit emas untuknya. Jika dijelmakan dalam rumah tangga, jawapannya adalah kerukunan dan persefahaman yang berpanjangan.

Begitulah seharusnya cinta………..


Petikan Artikel motivasi oleh dari. HM Tuah Iskandar Al-Haj